Dah Ada Sindiket Penipuan Kwsp?Biar Betul!

094604j23y5052ye0yd402.jpg

Kurang kesedaran  untuk  menguasai  ilmu kepenggunaan menjadi antara punca orang ramai mudah tertipu dengan sindiket mahupun ejen penipuan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga mengalami kerugian ribuan ringgit.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, setakat ini lebih 40 aduan diterima pihaknya mengenai penipuan sedemikian termasuk pengeluaran untuk membeli rumah, pendidikan dan pelaburan sejak 2015.

Beliau berkata kes terkini yang diterima pihaknya adalah pada awal Oktober lepas, membabitkan 16 mangsa di negeri ini mengalami kerugian mencecah RM30,000 apabila wang simpanan KWSP mereka ditipu individu yang mendakwa sebagai ejen pengeluaran untuk membayar yuran pengajian anak mereka melanjutkan pelajaran.

“Bagaimanapun, selepas duit RM30,000 dikeluarkan daripada simpanan KWSP mangsa, anak mereka tidak boleh menyambung pengajian seperti ditawarkan sebelum ini, dengan alasan yang diberikan antaranya tiada jurusan yang dimohon anak mereka di kolej terbabit.

“Apabila mangsa minta duit mereka balik, pelbagai alasan diberikan ejen berkenaan malah ada ejen yang sudah hilang macam itu sahaja sehingga tidak dapat dijejaki,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamad Yusrizal berkata, mangsa tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu dan sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak CAKE untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan dan kini kes masih dalam siasatan pihak berkaitan.

Beliau berkata, berdasarkan aduan dibuat mangsa kepada CAKE pihaknya mendapati modus operandi sindiket penipuan berkenaan menyasarkan masyarakat luar bandar terutamanya mereka yang dilihat kurang berpengetahuan tentang prosedur dan tatacara pengeluaran KWSP itu.

“Sindiket dan ejen ini tidak akan menggunakan platform media sosial untuk mendekati mangsa mereka kerana menerusi media sosial mudah dikesan pihak berkuasa. Kebiasaannya sindiket dan ejen penipuan pengeluaran KWSP ini lebih memilih cara ‘offline’ iaitu bersemuka dengan mangsa seperti reruai semasa penganjuran karnival tertentu atau buka meja di masjid-masjid,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal menasihati pengguna di negara ini supaya sentiasa berhati-hati dengan sindiket dan apabila didekati individu tertentu dengan cara menyiasat latar belakang mereka sebelum membuat persetujuan mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk apa tujuan sekali pun.

Selain itu, katanya pengguna boleh merujuk kepada persatuan pengguna bagi mendapatkan pendapat berhubung pengeluaran simpanan sekiranya memerlukan wang untuk menyelesaikan apa jua masalah dihadapi mereka.

“Sesetengah orang memerlukan duit KWSP untuk bayar deposit rumah ataupun sambung belajar bagi yang tiada simpanan tetap. Kami faham situasi itu. Tetapi jika individu yang mendakwa sebagai ejen seperti ini, tolonglah jangan buat keputusan terburu-buru. Tanya pendapat orang lebih arif seperti perancang kewangan atau datang tanya pendapat kami dahulu pun tidak ada masalah. Ini untuk elak mereka ditipu sindiket serta ejen sedemikian,” katanya.

Bernama bagaimanapun gagal untuk menemu bual mangsa berikutan mereka enggan berbuat demikian kerana khuatir akan mengancam keselamatan mereka sementelah kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Chan Teck Paing berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kes berkenaan setakat ini kerana berkemungkinan pemilik akaun sendiri berpakat dengan sindiket untuk cuba mengeluarkan simpanannya.

“Setahu saya tiada laporan polis diterima pasal isu ini dan tiada siasatan dijalankan oleh pihak JSJK (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial) Kedah,” katanya.

Namun, beliau menasihati orang ramai supaya bijak menggunakan simpanan KWSP mereka sebaik mungkin untuk mengelakkan mereka terpedaya dengan tipu helah pihak yang menawarkan ‘bantuan’ bagi mengeluarkan simpanan itu yang kebiasaannya akan mengenakan komisen tinggi (selalunya melebihi 50 peratus).

“Wang simpanan KWSP merupakan hasil titik peluh pencarum dan akan menjadi sumber menyara kehidupan selepas persaraan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Teck Paing berkata, perbuatan mengeluarkan wang simpanan melalui dokumen ataupun urusan palsu juga adalah suatu perbuatan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 59 Akta KWSP iaitu melakukan pengisytiharan tidak betul, kegagalan memberikan penyata atau mengemukakan dokumen palsu.

The following two tabs change content below.

Leo

Good Game Well Play!

Latest posts by Leo (see all)

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge