Tak Perlu Bayar Balik Pinjaman Pendidikan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Tak Perlu Bayar Balik Pinjaman Pendidikan – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat untuk membawa isu pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan kepada peminjam yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan untuk pertimbangan lanjut Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi OKU.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Azizah Mohd Dun berkata perkara itu kemudian akan diteliti Jawatankuasa Pendidikan yang ditubuhkan di bawah Majlis itu.

Beliau berkata Jawatankuasa Pendidikan yang diterajui Kementerian Pendidikan dan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OKU boleh membincangkan perkara ini secara terperinci.

“Ini termasuk mengambil kira isu-isu berkaitan implikasi perundangan, kewangan dan mekanisme pelaksanaan berkenaan isu pengecualian bayaran balik pinjaman,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Seah Leong Peng (DAP-Telok Intan) yang bertanya sama ada agensi kerajaan atau badan-badan yang memberi pinjaman kepada peminjam yang dikategorikan sebagai OKU akibat kemalangan yang menimpa mereka, memberi pengecualian bayaran balik pinjaman pendidikan terhadap mereka.

Azizah berkata secara umumnya, agensi pemberi pinjaman tidak mempunyai sebarang kerjasama atau dasar khusus untuk memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman atas faktor ketidakupayaan seseorang kecuali pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Pemberian pengecualian bayaran balik pinjaman ini diberikan berdasarkan merit atau pencapaian akademik cemerlang pelajar itu,” katanya.

Beliau berkata selain itu, pengecualian bayaran balik pinjaman JPA juga diberikan kepada peminjam yang menghadapi masalah kesihatan serta disahkan pakar hospital kerajaan bahawa penyakit yang dihadapi bersifat kekal sehingga tidak mampu bekerja termasuk mereka yang di bawah kategori OKU. – Bernama

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments