Penjenayah Tertangkap Selepas Tertidur Kepenatan

Penjenayah Tertangkap Selepas Tertidur Kepenatan. Seorang penjenayah diberkas ketika tertidur dalam kereta selepas pecah masuk sebuah tempat simpanan barang

Penjenayah Tertangkap Selepas Tertidur Kepenatan | Hah! Padan muka! MUAR – Seorang penjenayah diberkas ketika tertidur dalam kereta selepas pecah masuk sebuah tempat simpanan barang Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Parit Amat Darat, Parit Jawa, dekat sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek ditahan sekitar jam 7 pagi di dalam kereta yang diletakkan di hadapan stor berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun tertidur dipercayai keletihan selepas melakukan perbuatan itu.

“Kejadian disedari oleh pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung berkenaan kira-kira jam 7 pagi sebelum menghubungi polis.

“Sepasukan anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya terlihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang diletakkan tidak jauh dari stor berkenaan dan memeriksanya.

“Ketika pemeriksaan, kita dapati seorang lelaki India sedang nyenyak tidur di bahagian tempat duduk pemandu.

“Dia (suspek) kelihatan gelabah ketika dikejutkan dan kita kemudian melakukan pe-meriksaan susulan dan menemui sejumlah barangan yang dilaporkan hilang iaitu sembilan helai jaket SRS, lampu suluh, pisau pemotong daging, kapak serta tiga bilah parang di tempat duduk belakang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Azman berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, suspek berasal dari Negeri Sembilan bekerja sebagai mekanik dan didapati positif dadah jenis heroin.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada dalam senarai orang yang dikehendaki berkaitan kes ugutan jenayah baru-baru ini.

“Selain itu, suspek turut memiliki beberapa rekod lampau berkaitan curi kenderaan serta dadah,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 21 Ogos ini bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti kemungkinan turut terbabit dalam jenayah lain.

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments