Kesan Orang Yang Bahagia Di Sisi Kita

Kesan Orang Yang Bahagia Di Sisi Kita. Makna Seorang Sahabat. Erti persahabatan yang sebenar. Erti persahabatan dalam islam. Jaga hubungan dengan Allah.

Kesan Orang Yang Bahagia Di Sisi Kita | DI kalangan ramai kawan-kawan kita, pasti kita kenal dengan seseorang yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja perkara yang dilakukannya. Di tempat kerja, dialah penceria suasana. Kehadirannya menyemarakkan aura kegembiraan kerana keramahannya.

Kesan Orang Yang Bahagia Di Sisi Kita

Tatkala kita duduk bersahaja dan bersembang kerana bos tidak memberi kita tugasan, kawan kita yang ini tertunduk-tunduk membuat kerja. Oleh kerana dia rajin, bos akan lebihkan tugasannya. Dia tidak akan kompelin. Jika kerjanya sudah selesai, dia bersembang juga dengan kita. Tetapi tangannya pasti tidak diam mengemas meja, menyusun fail atau mengelap komputer.

Di dalam mesyuarat, dialah yang akan mengambil inisiatif untuk bangun menuang minuman dan mengagih karipap. Jika dia tidak mulakan untuk menghidang, kita tidak akan melakukannya kerana berasakan tugas itu bukannya kerja kita.

Bila ada tetamu datang ke pejabat, dia akan ambil tahu dengan siapa orang itu hendak bertemu walaupun itu tugas penyambut tetamu. Bila ada mentol lampu terbakar atau sinki di pantri pejabat yang tersumbat, dia akan bersingsing lengan untuk memperbaikinya. Tidak payah kita memanggil pendawai elektrik atau tukang paip untuk memperbetulkannya.

Berkawan dengannya amat menyenangkan. Apa sahaja bantuan yang kita pinta pasti akan dibereskannya. Kerana itu, seandainya dia inginkan pertolongan kita, kita tidak akan teragak-agak menghulurkan bantuan. Tetapi, dia pula jenis orang yang tidak gemar meminta pertolongan kita. Sebaliknya, dia suka menyelesaikan masalahnya sendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Kalau kita tahu di mana rumahnya, pergilah berziarah. Kita akan lihat rumahnya serba lengkap. Di kediamannya ada semua. Televisyen, peti sejuk, mesin basuh, komputer, karpet, kerusi set dan segalanya. Namun, segala barangan di rumahnya serba sederhana, tersusun rapi dan bersih.

Berkenalanlah dengan anak dan isterinya. Mereka pun sama juga. Amat menyenangkan. Kerana itu, kita akan menjaga tata tertib bila di rumahnya kerana kita semakin hormat padanya. Kita hormati dia kerana dia telus dan tulus. Peribadinya di pejabat dan di rumah sama sahaja. Bukan hipokrat seperti sesetengah daripada kita.

Siapakah orang ini? Dia adalah orang yang bahagia. Dia bahagia kerana dia sudah berjaya. Berjaya menemui keharmonian di antara dirinya dengan anak isterinya, rakan-rakannya, jiran-jirannya dan dengan kehidupannya.

Daripada segi fizikal, oleh kerana dia sentiasa ligat bergerak, dia tiada masa untuk berasa risau. Bergerak adalah suatu bentuk tindakan. Orang yang bertindak akan sentiasa berasa yakin dan tetap pendirian. Pergerakannya secara automatik membuatkan dia fokus untuk menyudahkan apa yang ada di depan matanya.

Berbeza sekali dengan kita yang daripada jenis yang lambat bertindak. Bila kita lambat bertindak, kita jadi lembab dan akhirnya menangguhkan apa yang ingin kita lakukan. Orang tua ada berkata, kerja bertangguh tidak menjadi. Itulah kita berbanding dengan dia.

Daripada segi mental, oleh kerana sentiasa dalam mode bertindak, dia telah menguasai ketakutan. Istilah takut tiada di dalam kamus fikirannya kerana ia tidak sempat bersarang di dalam mindanya.

Kita, yang hanya membiarkan imaginasi bermain di fikiran akan membangkitkan segala ragu, was-was dan bimbang hingga ia menjelma menjadi ketakutan. Menangguhkan tindakan akan mencambah rasa kegagalan ~ tewas sebelum bermula.

Daripada segi spiritual pula kawan kita itu berasa bahagia kerana dia menjaga keharmonian dengan Tuhannya dengan cara menjaga ibadahnya. Dengan menjaga perhubungan itu, insya-ALLAH, rahmat ALLAH SWT sentiasa melimpahi kehidupan sehariannya.

Kita pula tidak bahagia dari segi spiritual kerana cuai menjaga perhubungan kita dengan ALLAH SWT. Seringkali ibadah kita ditinggalkan di dalam lipatan sejadah. Selepas solat, kita tidak bawa intisari ibadah itu bersama dalam urusan dunia.

Inilah yang membezakan dia dengan kita. Dia punyai segala meskipun sedikit. Kita punyai sedikit meskipun mahu segalanya.

Ingatlah apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, nescaya Allah akan memberikan apa yang kita mahu dan Allah akan menjaga hubungan kita dengan yang lain.

Sumber

Incoming search terms:

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments