Kawasan Pencarian MH370 Bakal Dilanda Taufan Jack

Kawasan Pencarian MH370 Bakal Dilanda Taufan Jack

Kawasan Pencarian MH370 Bakal Dilanda Taufan Jack | Hari demi hari berlalu, masih tiada khabar berita atau bukti-bukti baru mengatakan pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi. Namun pelbagai pihak dari negara Malaysia mahupun dari seantero dunia masih lagi cekal berjuang dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Terbaru, dikhabarkan pasukan pencari dan penyelamat bakal menghadapi masalah apabila dikatakan Taufan Tropika Jack terus bergerak menghala ke selatan Lautan Hindi iaitu ke lokasi pencarian.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dan sekali sekala ribut petir sedang bergerak ke utara beserta angin timur tenggara.

Namun usaha pencarian diteruskan yang memasuki hari ke-45 dengan disertai 10 pesawat tentera dan 11 buah kapal, demikian menurut JACC dalam satu kenyataan.

“Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia telah merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer barat laut Perth,” katanya.

Sementara itu Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21 mengakhiri misi lapan harinya pada Isnin setelah meliputi kira-kira dua per tiga kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang.

Ia dijangka memulakan misi hari kesembilan kemudiannya.

Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan.

Beliau juga berkata kini tiba masanya pihak yang terlibat dalam usaha pencarian mempertimbang dan membincang pula penggunaan kapal selam.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu ‘dalam beberapa hari lagi’.

Bluefin-21 memulakan tugas sulungnya Isnin lalu dalam usaha mencari serpihan pesawat, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh TPL sejak 8 April.

Ia menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam untuk memuat data yang dikumpul.

Pesawat MH370 dengan seramai 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac dan hilang dari skrin radar kira-kira sejam di atas Laut China Selatan.

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Usaha pencarian yang melibatkan pelbagai negara, pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan dan kemudian di Lautan Hindi, apabila difahamkan ia telah melencong dari laluan asalnya. – Bernama

Sumber

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments