Hukum Potong Kuku Dan Gunting Rambut Semasa Hadas Besar

potong-kuku-ketika-haid.jpg

Hukum Potong Kuku Dan Gunting Rambut Semasa Hadas Besar | Assalamualaikum dan selamat sejahtera Dr FUh ucapkan kepada pembaca yang dikasihi sekalian. Persoalan yang timbul ini mungkin nampak agak remeh bagi sesetengah orang, namun hakikatnya perkara ini seringkali bermain di fikiran terutamanya kepada para wanita. Adakah anda sudah mengetahui Hukum Potong Kuku Dan Gunting Rambut Semasa Hadas Besar? kalau belum, ambil sedikit masa untuk membaca artikel yang bermanfaat ini sehingga habis.

Soalan:

Ustazah, apakah benar seseorang yang datang haid atau berhadas besar (berjunub) tidak boleh potong kuku atau gunting rambut?

Saya mendengar seorang ahli agama berkata, jika berbuat juga anggota itu akan datang di akhirat kelak dlm keadaan kotor jika tidak dimandikan kemudiannya. Apakah terdapat dalil-dalil yang demikian itu?

Husna, Skudai Johor

Jawapan Dari Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Hukum Potong Kuku Dan Gunting Rambut Semasa Hadas Besar

Soalan ini selalu ditanya pada guru-guru agama dan sudah dijawab dengan jelas sekali. Namun saya cuba menjelaskan sekali lagi dalam ruangan ini. Semoga Allah Taala menguatkan iman kita untuk beramal dengan yakin selepas ini tanpa mempersoalkan hukum-hukum ranting ini kerana banyak lagi perkara asas yang belum kita ketahui.

Dalam surah al-Baqarah ayat 222, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang haid. Katakanlah ia adalah suatu yang kotor. Kerana itu jauhilah (jangan menggauli) isteri pada waktu haid…”

Dalam buku ‘al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah (Fekah menurut Keempat Mazhab) mengemukakan: “Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.”

Justeru, kita mengetahui tidak disyaratkan adanya [1] untuk memotong rambut atau kuku. Dengan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang saudari tanyakan.

Mungkin orang yang melarang itu menduga bahawa badan manusia menjadi najis ketika ia dalam keadaan junub. Dugaan ini agak mengelirukan. Nabi SAW tidak mewajibkan orang yang berjunub, termasuk yang datang bulan untuk segera mandi. Ia diwajibkan mandi, ketika hendak solat atau membaca al-Quran. Bahkan ada sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW pernah berdiri untuk solat berjemaah, tiba-tiba Baginda teringat bahawa Baginda belum mandi dan segera pergi mandi kemudian melaksanakan solat. Demikianlah yang diriwayatkan oleh keenam perawi hadis yang utama (kecuali Imam al-Tirmizi) melalui sahabat Nabi, Abu Hurairah.

Boleh jadi juga, pandangan itu diambil daripada kefahaman hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud melalui Ali bin Abi Talib yang menyatakan, “Sesiapa yang mengabaikan satu bahagian dari tempat tumbuhnya rambut ketika mandi junub sehingga tidak terkena air, maka Allah akan memperlakukan begini dan begini di neraka.”

Riwayat ini di samping memiliki kelemahan dalam sanadnya, juga tidak menyebut mengenai rambut yang dipotong. Pada hemat saya, pandangan yang seperti saudari tanyakan itu sangat menyulitkan, sedangkan agama memberikan kemudahan-kemudahan termasuk dalam persoalan mandi wajib.

Sekiranya hukum memotong kuku atau menggunting rambut tidak haram, adakah larangan tersebut bermaksud makruh?

Terdapat ulamak memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).

Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)

Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Sohih al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).

Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal); “Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”(Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Dalam buku al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, az-Zuhaili menulis, “Tidak makruh dalam pandangan mazhab Hambali bagi seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi.”

Pada hemat saya, pada hari kemudian, walaupun manusia dibangkitkan secara jasmani, tetapi tubuh kita bukan lagi sebagaimana keadaannya dalam kehidupan dunia.

Al-Quran menyatakan bahawa wanita-wanita penghuni syurga (yang tua sekalipun) akan dijadikan Allah SWT sebagai gadis-gadis remaja, penuh cinta dan sebaya dengan suami-suami mereka.

Ini sebagai mana yang disebut dalam surah al-Waqiah ayat 35 dan 36 iaitu: “Sesungguhnya Kami sudah ciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan yang istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh)”.

Dalam hal mandi wajib, mazhab Abu Hanifah meletak garis panduan bahawa wajib membasahi seluruh anggota badan yang dapat disentuh oleh air selama hal itu tidak menyulitkan. Dalam konteks kemudahan itu, ulama membincangkan wajib tidaknya rambut yang digulung atau diikat sebahagian atas sebahagian yang lain, untuk diurai terlebih dulu baru mandi.

Abu Hanifah tidak mewajibkannya, cukup membasahi. Imam Malik juga tidak mewajibkan mengurai rambut yang bersanggul selama ikatannya tidak terlalu ketat sehingga air dapat mengalir ke dalam. Alasan mereka adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Ummu Salamah bertanya kepada Nabi SAW, “Aku adalah seorang wanita yang mengikat rambutku, apakah aku harus mengurainya dalam rangka mandi junub?” Nabi menjawab, “Tidak! Cukup engkau menuangkan air ke atas kepalamu sebanyak tiga kali.”

Imam Syafie, walaupun mengharuskan menguraikan sanggul apabila air tidak mengena rambut, namun beliau berpendapat bahawa agama memaafkan bahagian dalam dari rambut yang terikat untuk tidak terkena air.

Jika diteliti dalil-dalil dan pendapat di atas ternyata Rasulullah S.A.W tidak memberatkan para wanita yang berambut panjang untuk mengurai seluruh rambutnya bagi menjirus air ketika mandi junub untuk mengelakkan dari kesukaran. Apalagi jika berkaitan memandikan rambut yang telah gugur itu lebih menyukarkan. Sedangkan prinsip syariah ialah meringankan tanpa membebankan penganutnya.

Di sini juga saya bawakan jawapan Imam Ibn Taymiah bila ditanya tentang hal ini di dalam kitabnya Ghiza’ al-albab, 1/382).Beliau berkata: “Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu: “Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam).”

Maka jelaslah bahawa dibenarkan, bahkan tidak dilarang untuk memotong kuku mencukur atau membuang apa-apa yang lebih daripada kebiasaannya yang tumbuh di tubuh kita semasa dalam hadas besar. Islam adalah yang mudah, maka jangan kita mempersulitkan diri kita dlm beramal.

Wallahua’lam.

Sumber

Incoming search terms:

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Latest posts by Dr Fuh (see all)

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge