Gunung Berapi Suci Ialah Tempat Suci Di Korea

Gunung Berapi Suci Ialah Tempat Suci Di Korea paling spiritual bagi masyarakat Korea ialah sebuah gunung berapi terkenal dengan pelbagai mitos dan legenda.

Rasanya dekat mana mana negara pun mesti ada tempat yang dikatakan sebagai spiritual. Sama juga seperti di Korea. Jom ikuti kisah lanjut :

Gunung Berapi Suci Ialah Tempat Suci Di Korea | TEMPAT paling spiritual bagi masyarakat Korea ialah sebuah gunung berapi yang terkenal dengan pelbagai mitos dan legenda. Namun, sejak semenanjung itu terpisah beberapa dekad lalu, mereka yang teringin untuk melihatnya perlu mengembara ke China terlebih dahulu.

Puncak yang dikenali sebagai Changbai dalam bahasa Cina dan Paektu dalam bahasa Korea, turut memaparkan sebuah kawah tasik yang menakjubkan di sempadan China-Korea Utara.

Bas-bas pelancongan kecil melalui jalan sempit yang bersimpang siur sebelum menurunkan pelancong Korea Selatan untuk berjalan kaki ke tebing kawah bagi membolehkan mereka melihat pemandangan Korea Utara yang terlarang dan mengimpikan satu penyatuan pada masa akan datang.

“Penyatuan!” jerit seorang lelaki Korea Selatan yang sedang berdiri di kawasan itu. Dia salah seorang daripada beribu-ribu orang yang melakukan kunjungan keagamaan itu setiap tahun di situ.

Berdasarkan mitos Korea, Dangun, yang mengasaskan kerajaan pertama negara itu pada 2333 Sebelum Masihi, dilahirkan di atas gunung itu oleh seorang wanita yang berubah daripada seekor beruang kepada seorang wanita.

Menurut Biro Pelancongan tempatan, destinasi itu dikunjungi oleh kira-kira 137,000 pelancong asing pada tahun lalu, dengan lebih separuh daripada mereka dipercayai dari Korea Selatan.

“Tempat ini sangat suci,” kata Choi Byung-Eui yang mengembara bersama bapanya dari bandar di Korea Selatan, Gyeongju.

Langkahnya terhenti apabila angin bertiup kencang di tebing dan menghilangkan awan tebal yang menutupi kawah, sekali gus membolehkannya menikmati keindahan alam di situ.

“Saya begitu kecewa dan sedih kerana ramai orang terpisah akibat peperangan Korea. Kedua-dua Korea harus menjadi satu,” kata beliau.

Puncak yang berada pada ketinggian kira-kira 2,750 meter merupakan gunung yang tertinggi di kedua-dua semenanjung Korea dan timur laut China. Ia juga merupakan sumber air Sungai Yalu dan Tumen iaitu antaranya merupakan sempadan China dan Korea Utara.

Harimau berkeliaran

Air di dalam kawah berkenaan dikenali sebagai Tianchi dalam bahasa Cina atau Tasik Syurga. Di sini, beberapa harimau Amur yang terancam kelihatan berkeliaran di cerun-cerun dan bukit di banjaran Changbai yang terbentang luas itu.

Korea Selatan menggelarnya Baekdu. Dalam sebuah buku panduan ke China yang diterbitkan di Seoul menggambarkannya sebagai lebih daripada sekadar sebuah gunung yang meninggi. Ia seperti tempat suci asal sebuah negara.

Walau bagaimanapun, gunung berapi itu menjadi tajuk utama beberapa tahun kebelakangan ini apabila pakar seismologi memberi amaran bahawa ia boleh meletus buat kesekian kalinya selepas berabad-abad lamanya. Ini sekali gus memberi peringatan bahawa satu bencana besar boleh memberi kesan kepada Korea Utara yang merupakan sebuah negara miskin tetapi bersenjata nuklear.

Negara itu menggunakan kepentingan puncak gunung itu dalam sejarah Korea melalui propaganda politik dengan menghubungkannya kepada mitologi pemerintah puak Kim.

Bekas pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong-Il telah dilahirkan di cerun tersebut pada tahun 1942. Kisah kelahirannya disusuli dengan cerita hagiografi yang mendakwa kewujudan pelangi berganda dan bintang baharu pada masa itu. Namun demikian, cendekiawan-cendekiawan luar berkata kelahirannya di Kesatuan Soviet.

Apabila Jong-Il meninggal dunia pada 17 Disember 2011, laporan agensi berita Korea Utara melapor, lapisan ais beku pecah, menggoncangkan tasik dengan bunyi bising.

Menurut sebuah buku autobiografi rasmi Jong-Il, bapanya yang juga pengasas Korea Utara, Kim Il-Sung telah menganjurkan dan memimpin revolusi anti-Jepun untuk kemenangan.

Banjaran Changbai merentangi Manchuria, bahagian timur laut dari China yang ditakluki kumpulan etnik Manchu pada abad ke-17 dan kemudian memerintah Dinasti Qing selama 268 tahun. Maharaja-maharajanya direkodkan pernah membuat tawaran kepada gunung itu.

Gao Shang, seorang pelajar siswazah dari etnik Manchu berkata, dia mahu melihat kawah itu sejak kecil lagi apabila ibu bapanya memberitahunya bahawa ada kolam ajaib di Gunung Changbai.

Mengingat semula kisah itu, tambah beliau, kedua-dua ibu bapanya memberitahu tentang seekor raksasa yang hidup di dalam kawah tersebut.

Menjangkau imaginasi

“Mengikut tradisi keluarga, nenek moyang saya berasal dari kawasan tersebut. Sehubungan itu, gunung ini sangat penting bagi saya,” ujar Shang.

Ramai penduduk Korea Selatan ternyata tidak menyukai pemilikan China terhadap puncak itu.

Bahkan, lima atlet wanita Korea Selatan pada Sukan Musim Sejuk Asia 2007 di Changchun, China telah menunjukkan sebuah papan tanda yang bertulis, Gunung Baekdu adalah tanah kami. Namun, mereka dilaporkan memohon maaf atas tindakan tersebut ekoran bantahan Beijing.

Lee Kang-Ho, yang melawat Changbai bersama bapa dan anaknya dari bandar pelabuhan, Busan, bangga dengan skala gunung berapi itu.

“Ia menjangkaui imaginasi saya,” katanya sambil menggelar gunung itu sebagai penghubung dan susur galur Korea.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan rasa malu kerana tidak dapat mengembara melalui Korea Utara untuk ke kawasan berkenaan.

“Saya berasa malu kerana terpaksa membelanjakan wang di China untuk datang ke sini.” – AFP

Sumber

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments