Dua Pelajar Perempuan Maut Lemas Gara-Gara ‘Selfie’

Dua Pelajar Perempuan Maut Lemas Gara-Gara 'Selfie'. Usaha dua gadis mencari posisi terbaik merakamkan gambar secara ‘selfie’ ketika mandi sungai,

Dua Pelajar Perempuan Maut Lemas Gara-Gara ‘Selfie’ | Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada para pembaca yang dikasihi dan disayangi sekalian. Fenomena ‘selfie’ yang menular dikalangan rakyat Malaysia nampaknya sudah tidak dapat dibendung lagi. Namun disebalik kegembiraan merakam gambar secara ‘selfie’, Dr Fuh dikejutkan dengan berita dua orang pelajar sekolah meninggal dunia selepas lemas di sebuah sungai yang mana dikatakan mereka sedang mencari posisi terbaik untuk ‘selfie’. Ikuti laporan penuh.

Usaha dua gadis mencari posisi terbaik merakamkan gambar secara ‘selfie’ ketika mandi sungai, bertukar tragedi apabila tergelincir sebelum dihanyutkan arus Sungai Lebir dekat Manik Urai Lama, di sini, petang kelmarin.

Kejadian jam 6 petang itu berlaku ketika pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Manik Urai, Nurul Akmal Roshid, 15, dan Nursyafiqah Syaurah Mohd Yusof, 13, dikatakan asyik bergambar menggunakan telefon bimbit.

Mayat Nurul Akmal ditemui jam 8.28 pagi semalam, manakala mayat Nursyafiqah Syaurah ditemui jam 8.50 pagi, antara 20 hingga 50 meter dari lokasi mereka dihanyutkan arus.

Telefon bimbit milik seorang daripada pelajar itu yang mulanya digunakan untuk merakam gambar antara satu sama lain sebelum cuba melakukan ‘selfie’ bersama, turut hilang dibawa arus menghanyutkan mereka.

Sebelum kejadian, mereka ke sungai itu jam 5.30 petang bersama dua lagi rakan yang tidak mandi, sebaliknya hanya memerhati gelagat dua sahabat karib terbabit bergambar dalam sungai tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menyedari musibah menimpa kedua-dua mangsa, dua rakan mereka bergegas mendapatkan bantuan penduduk kampung.

Berperangai pelik
Operasi mencari mangsa dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Balai Kuala Krai sejurus kejadian sehingga jam 11 malam kelmarin, sebelum disambung semula sehingga penemuan mayat kedua-duanya pagi semalam.

Ibu kepada Nursyafiqah Syaurah, Marizan Ismail, 37, berkata sejak seminggu lalu anaknya berperangai agak pelik apabila kerap keluar menunggang motosikal mengelilingi kampung setiap hari.

“Boleh dikatakan setiap hari dia akan keluar bersiar-siar, sedangkan sebelum ini arwah lebih suka berada di rumah.

“Mengikut rakan baiknya, arwah ada datang berjumpa meminta maaf sambil memberitahu sampai saatnya untuk pergi. Kelakuan pelik itu ditegur rakannya, namun dia hanya tersenyum, tak sangka itu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Nurul Akmal, Rohana Zakaria, 45, berkata sehari sebelum kejadian, beliau dimaklumkan anaknya ada ke sungai tapi tidak turun, sebaliknya hanya meninjau dari tebing.

“Hari kedua (semalam) baru mereka pergi pula untuk mengambil gambar kenangan, sebelum berakhir dengan tragedi ini,” katanya sambil menahan sebak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azman Abu Hassan, berkata lima anggota Unit Skuba menjalankan operasi menyelam, mengesan mangsa sambil dibantu anggota polis serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superitendan Ab Rahim Che Ghani, dihubungi berkata, kes diklasifikasikan sebagai lemas dan tiada unsur jenayah dilaporkan. – Bharian

Incoming search terms:

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments