Benjy Dan 4 Rakan Bebas Tuduhan Miliki Dadah

Benjy-dadah.jpg

Benjy Dan 4 Rakan Bebas Tuduhan Miliki Dadah | KUALA LUMPUR – Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan empat rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini daripada pertuduhan memiliki dadah, Jun lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membebaskan Benjy, 34, dan empat rakannya iaitu Imran Radzi, 32, pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27, serta Afifi Hamidi, 27, selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes tetapi Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menyatakan pihaknya mendapat arahan daripada ketua pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan terhadap kelima-lima tertuduh.

Goh berkata, pertuduhan itu ditarik balik kerana seorang lagi rakan mereka, Zain Amir Zainal Khairi yang didakwa atas pertuduhan sama, telah mengaku bersalah sebelum ini dan dikenakan denda RM4,000.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon kelima-lima tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya.

Peguam Amer Hamzah Arshad pula memohon kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan kerana mereka sudah dikira tidak bersalah.

Mahkamah membenarkan permohonan Amer Hamzah.

Pada 11 September lepas, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki beg mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 2.99 gram di Oakleaf Park Condo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Taman Bukit Jaya, Hulu Kelang pada 11.30 pagi 26 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di luar mahkamah Benjy melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan itu selain turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokongnya sepanjang kes itu berjalan.

“Kes ini memberi impak kepada saya kerana disebabkan kes ini saya kehilangan kerja… buat masa sekarang saya ingin menjauhkan diri daripada industri hiburan dan ingin mencari kerja lain,” katanya. – Bernama

Sumber

The following two tabs change content below.
Merupakan seorang blogger yang gemar berkongsi artikel menarik dari sumber lain sebagai pengajaran dan rujukan pembaca dengan sedikit gubahan ayat dan olahan sendiri disamping menyelitkan artikel berunsur lawak serta kisah benar. Bercita-cita menjadikan fuh.my sebagai blog Informasi terbaik di Malaysia.

Comments

comments

2 thoughts on “Benjy Dan 4 Rakan Bebas Tuduhan Miliki Dadah”

  1. kucinghitam says:

    bagus la bebas kesian kat mak dia sakit

  2. JOBS VIEW says:

    akhirnya dibebaskan..harap2 ini dijadikan pengajaran..
    JOBS VIEW recently posted…Job Opportunities with Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) [UPDATE 11OCT2013]My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge